The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

PREVIU PERLAWANAN: Selangor Buru Kemenangan Pertama Di Stadium UiTM (CIMB Super League 2020)

Sep 10, 2020 - FAS

Dengan tiga mata berharga yang berjaya dibawa pulang minggu lalu, skuad Selangor akan meneruskan perjuangan di laman sendiri menentang Melaka United pada hari Jumaat ini.

Keputusan seri 1-1 Selangor menentang Melaka United dalam pusingan kedua saingan Piala Malaysia 2019 merupakan pertemuan kali terakhir di Stadium Shah Alam pada September tahun lalu.

Kemenangan minggu lalu pasti berjaya menaikkan semangat skuad Selangor untuk teruskan momentum yang baik dan mempamerkan aksi yang memberangsangkan untuk perlawanan hari Jumaat ini.

Brendan Gan, pemain tengah Selangor yang mempamerkan aksi yang baik dalam perlawanan lepas mengatakan Melaka United merupakan pasukan yang hebat tetapi pasukan perlu fokus untuk mempamerkan aksi yang terbaik.

"Kami telah menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk dapatkan tiga mata penuh minggu lalu. Pasukan perlu terus mempamerkan aksi yang baik bagi menentang Melaka esok, mereka (Melaka United) adalah pasukan yang bagus tetapi kami harus fokus pada diri sendiri dan memastikan dapat bermain dengan baik," kata Brendan.

Beliau juga berharap penyokong akan terus positif dan bersemangat agar kita dapat mengakhiri kempen musim ini dengan baik biarpun perlawanan tanpa penyokong.

"Sedikit sukar bermain dalam perlawanan tanpa penyokong tetapi kami dapat merasakan semangat dari semua penyokong melalui saluran media sosial. Kami akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk kelab dan penyokong. Kita adalah satu!," tambah Brendan.

Bagi keberadaan pemain pula, Mukhairi Ajmal terpaksa direhatkan setelah mengalami kecederaan, manakala Hakim Hassan masih belum sedia untuk diturunkan kerana sedang menjalani proses pemulihan. Sungguhpun demikian, A.Namathevan telah diberikan lampu hijau untuk kembali ke pasukan utama.

Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta CIMB Liga Super 2020 adalah di tangga ke-6 dengan 9 mata terkumpul hasil dari dua kemenangan, tiga seri, dan satu kekalahan, manakala Melaka United pula di tempat ke-5.

Kemenangan pada hari Jumaat ini menyaksikan Selangor mampu melonjakkan kedudukan mereka ke tangga kedua liga, selain perlu menunggu keputusan di venue lain.

Semoga tiga mata penuh berjaya diraih Selangor dalam perlawanan di laman sendiri sekaligus mengekalkan momentum kemenangan sehingga tamat CIMB Liga Super 2020.

Teruskan perjuangan Gergasi Merah!